Usahawan 1

HOME
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Usahawan Peladang Jaya Encik Che Azmi Bin Che Mahmood 


Encik Che Azmi Bin Che Mahmood, berusia 49 tahun adalah seorang
anggota polis berpangkat Inspektor berasal dari Negeri Kelantan dan kini
beliau dan keluarganya menetap di Sri Manjong, Perak. Minatnya di
dalam projek tanaman mangga ini bermula sejak 18 tahun yang lalu
dengan permulaan tanaman seluas 20 ekar di Lekir, Sitiawan, Perak
sehinggalah membawa kepada persaraan awal beliau sebagai anggota
polis.

Walaubagaimanapun 10 tahun kemudian beliau telah memindahkan
projek tersebut ke Kampung Permatang, Sri Manjung diatas tanah milik
sendiri seluas 4 ekar dan tanah wakaf milik Jabatan Agama Islam Negeri
Perak  (JAIP) seluas 16 ekar. Pihak JAIP telah memberikan hak
menyewa tanah tersebut selama 30 tahun dengan kadar sewa sebanyak
10% daripada keuntungan bersih projek. Sewa dibayar kepada Masjid
Nurul   Hidayah,          Sri Manjong     dan      sehingga kini   beliau telah
mengusahakan tanah tersebut selama 14 tahun. 

Hasil usaha beliau ternyata berjaya memberikan pulangan yang lumayan
iaitu 240 tan metrik buah mangga yang bernilai RM360,000 dengan
keuntungan bersih RM300,000 setahun.

Beliau seorang yang berpandangan jauh dan yakin dengan kejayaan
yang bakal diperolehi dengan usaha yang dijalankan dalam bidang
pertanian. Lokasi tanaman mangga di Lekir telah digantikan dengan
projek ternakan udang galah. Kesungguhan beliau mengusahakan projek
ternakan udang galah tersebut terbukti kejayaannya sehingga dinobatkan
sebagai Usahawan Ikan Jaya Kebangsaan Tahun 2001. Beliau
mengusahakan sebanyak 18 buah kolam dengan purata hasil sebanyak
18 metrik tan bernilai RM540,000 dan pendapatan bersih RM270,000
setahun.

Sebahagian perbelanjaan projek ternakan udang galah ini dibiayai
dibawah Program Pembangunan Usahawan Peladang, Lembaga
Pertubuhan Peladang sebanyak RM50,000.

Setelah mempunyai pasaran yang kukuh, beliau telah membesarkan lagi
projek tanaman mangga tersebut di 2 buah lokasi, iaitu di Changkat Tin
seluas 650 ekar dan Tronoh Mine seluas 146 ekar. Tanah tersebut
disewa secara pajakan daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian
Negeri Perak (SADC) dengan kadar sewaan sejumlah RM5,000/ekar
selama 60 tahun.  Disamping mengusahakan projek sendiri, beliau turut
membantu melahirkan usahawan-usahawan peladang yang berminat
mengusahakan projek tanaman mangga menerusi program mentor
mentee.  

Di Changkat Tin, beliau telah mengadakan usahasama dengan SADC
menganjurkan program mentor mentee dimana tanah seluas 150 ekar
telah ditanam dengan tanaman mangga yang melibatkan seramai 30 

orang mentee. Disamping itu, tanah milik beliau sendiri seluas 50  ekar
juga telah ditanam dengan mangga.

Sementara itu tanah seluas 60 ekar di Tronoh Mine juga telah
dibangunkan dibawah program mentor mentee dengan PPK  Manjung
Selatan. Ia diusahakan dengan tanaman mangga sejak 2 tahun lalu
melibatkan 10 orang mentee. Dengan dibantu oleh seramai 5 orang
pekerja tetap, beliau mampu menguruskan ladang mangganya dengan 
baik sehingga berjaya mendapatkan pensijilan Skim Akreditasi Ladang
Malaysia (SALM).

Setiap tahun mangga beliau mengeluarkan hasil bermula bulan Mei
hingga November. Secara purata, bagi setiap musim beliau mampu
meraih hasil hingga 30 m/tan bagi setiap ekar. Kebanyakan hasil
dipasarkan secara kontrak pemasaran dengan FAMA pada harga antara
RM1.80/kg hingga RM2.60/kg bagi gred A dan B.  Manakala bagi gred C
adalah untuk dijual kepada pemborong di Kuala Lumpur dan sekitar
Negeri Perak pada harga antara RM1 – RM1.50/kg.

Disamping tanaman mangga, beliau turut manfaatkan sepenuhnya
kegunaan tanah tersebut dengan mengusahakan ternakan ikan air tawar
seperti tongsan, kap rumput, tilapia hitam dan lampam di tasik yang sedia
ada dikawasan tersebut secara usahasama dengan pihak swasta. Bagi
setiap pusingan beliau akan menternak 60,000 ekor tongsan, 10,000 ekor
kap rumput, 20,000 ekor lampam dan tilapia hitam membiak secara
semulajadi. Dengan kadar kematian sebanyak 20% beliau berupaya
memperolehi hasil bersih sebanyak RM240,000 bagi ikan tongsan,
RM96,000 bagi ikan kap rumput dan RM16,000 bagi ikan lampam,
manakala ikan tilapia hitam dijual dengan harga RM1.10/kg.


Gambar 1: En. Che Azmi Bin Che Mahmood bersama buah mangga
yang sedang membesar.


Gambar 2: Bersama seorang Pengawai Pembimbing Lembaga
Pertubuhan Peladang daripada Kuala Lumpur.



Gambar 3: Sistem perparitan yang dibina untuk membekalkan air kepada
tanaman. 


Gambar 4: Menurut En. Che Azmi, untuk mendapatkan hasil yang baik
penjagaan pucuk pada peringkat awal sangat penting.